“CENTS Waste Trap” berfungsi sebagai penapis mekanikal untuk meringankan beban penapis biologi dengan cara memerangkap dan menyimpan sisa pepejal yang besar dan berat di ruang takungan di bahagian bawahnya. Sisa tersebut kemudiannya dialirkan keluar daripada sistem penapis kitar semula secara manual setiap pagi dan petang dalam tempoh beberapa saat sahaja.
Inovasi CENTS Waste Trap, turut mengambilkira dua kriteria utama sistem asuhan CENTS iaitu murah dan berkesan. Ia menggunakan bahan-bahan PVC yang mudah diperolehi dalam pasaran setempat untuk membentuk komponen CENTS Waste Trap yang terdiri daripada saluran air limpahan, ruang pengumpul sisa pepejal dan injap pengeluar sisa pepejal.
CENTS Waste Trap telah dapat meminimumkan penggunaan air laut bersih daripada sumber bekalannya. Air laut yang sama boleh digunakan berulang kali melalui proses kitar semula yang lebih cekap untuk mengekalkan mutunya pada tahap optimum. Tempoh pembersihan penapis biologi bagi mengeluarkan kotoran yang terkumpul dicelah-celah media penapis biologi yang boleh memperlahankan kadar aliran air juga dapat dilanjutkan sehingga 3-4 minggu. Anggaran 10% air laut bersih sahaja yang perlu ditambah setiap hari untuk menggantikan air yang terbuang bersama sisa pepejal yang terkumpul di dalam CENTS Waste Trap .